“Rumahku syurgaku”. Inilah kata-kata azimat yang menjadi impian
setiap ahli keluarga yang kamil di dunia tanpa sempadan ini. Seringkali
kepincangan rumah tangga menjadi punca
impian ini tidak dapat dicapai dan sekadar menjadi angan-angan di kotak
fikiran. Kesibukan ibu bapa berkerja menyebabkan mereka berasa tersisih seperti
anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Selain itu,
kurangnya kasih sayang dan kurangnya perhatian antara ahli keluarga menjadi
batu penarung kebahagiaan sesebuah keluarga. Siapa yang harus dipersalahkan
dalam hal ini? Tepuk dada tanya diri sendiri. Menyalahkan mana-mana pihak
bukanlah jalan penyelesaian seseuatu masalah. Perkara ini hanya seperti retak
mencari belah jika tidak ditangani dengan bijaksana dan waras. Persoalannya,
apakah cara-cara yang wajar digunakan untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan?
Ayuh kita saling memerah otak untuk mencari solusi yang terbaik.
Cara pertama yang
dianggap signifikan ialah ibu bapa perlu mengimbangkan antara kerjaya dan
kehidupan seharian mereka. Hal ini amat diperlukan supaya anak-anak mendapat
didikan yang baik dan sempurna dari segi fizikal dan mental. Dengan ini
hubungan antara ibu bapa dan anak-anak dapat dieratkan lagi. Ibu bapa memainkan
peranan penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Tanggungjawab mesti
dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Anak-anak ibarat kain putih, coraklah ia sebagaimana ibu bapa kehendaki. Ibu
bapa sepatutnya tahu bahawa masyarakat yang kaya dalam kebendaan tetapi miskin
dari segi keperibadian memberi kesan negatif kepada anak-anak mereka. Kajian
yang sahih membuktikan bahawa didikan yang sempurna daripada ibu bapa mampu
melahirkan darah daging yang ceria seterusnya mewujudkan sebuah keluarga yang
bahagia. Benarlah kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya. Usaha diperlukan untuk mewujudkan anak-anak yang terbaik dari ladang!
Sudah terang lagikan bersuluh bahawa hubungan kekeluargaan dapat diutuhkan lagi
sekiranya ibu bapa berjaya mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka.
Bukan itu sahaja,
dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu memantapkan diri mereka dengan ilmu
keibubapaan dan ilmu agama. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini demikian
kerana ibu bapa dapat menghindarkan diri mereka daripada godaan syaitan dalam
mentarbiah anak-anak. Ilmu tersebut sangat diperlukan dalam proses mentarbiah
anak-anak supaya menjadi modal insan berminda kelas pertama. Menurut Imam
al-Ghazali, anak-anak umpama sebutir batu permata yang belum digilap. Anak juga
merupakan anugerah Tuhan kepada pasangan suami isteri. Maka ibubapalah yang
akan menggilapnya sehingga menjadi manusia yang mempunyai pelbagai kemarahiran
seperti kemahiran komunikasi, kemahiran menguasai bervariasi bahasa, kemahiran
teknologi dan kemahiran ICT. Segala ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak mampu
mengikat hati mereka pada jalan yang benar dan sentiasa hidup dalam berwawasan.
Sebagai hasilnya, mereka akan selalu menghormati ibu bapa dan mempunyai
pendirian yang tetap. Memang tidak dapat dinafikan lagi ilmu mampu menjadi
pengikat antara ibu bapa dan anak-anak. Mudah-mudahan perkara ini boleh menjadi
salah satu cara untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan.
Cara atau kaedah yang ditelusuri seterusnya ialah sesebuah keluarga
itu seharusnya melakukan aktiviti kekeluargaan secara berkala yang melibatkan
semua ahli keluarga. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata!
Sememangnya aktiviti yang dilakukan bersama-sama mampu mengeratkan hubungan
kekeluargaan. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Bukit sama
didaki, lurah sama dituruni. Inilah amalan nilai murni yang dapat dipupuk ketika
melakukan aktiviti seperti bersukan, gotong-royong dan melancong. Persis kata
peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Untuk
menjadikan peribahasa ini sebagai satu kenyataan, setiap ahli keluarga perlu
bersatu hati dalam semua perkara. Biar susah dan senang sama-sama ditempuhi
agar semangat bersatu sentiasa tersemat di hati. Sebagai contoh, setiap pemain
dalam pasukan Harimau Muda berganding bahu dan sentiasa bekerjasama untuk
menjaringkan satu gold dan menjuarai sesuatu pelawanan. Justeru, setiap ahli
keluarga perlu mencontohi semangat yang ditunjukkan oleh pemain bola sepak.
Lakukan aktiviti bersama-sama dengan penuh ikhlas agar hubungan yang agak
rengang sebelum ini dapat dieratkan.
Selain itu,
sesebuah keluarga hendaklah menghidupkan suasana usrah di dalam rumah. Hal ini
demikian kerana melalui usrah, ahli keluarga akan lebih mengenali antara satu
sama lain. Umum mengetahui bahawa usrah lengkap dengan rukun-rukun yang
bermanfaat. Mereka dapat berkongsi masalah, minat dan pendapat. Jika setiap
hari masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, sekurang-kurangnya meluangkan
masa untuk berusrah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sebagai qudwah,
usrah semakin mendapat tempat di sekolah, universiti dan tempat kerja. Seperti
kata pakar motivasi, kualiti masa yang sedikit mampu memberi seribu kebahagian.
Usrah boleh dilakukan secara santai sama ada di rumah atau di mana-mana sahaja.
Melalui usrah, amalan nasihat-menasihati dapat dipupuk dalam diri setiap ahli
keluarga. Bak kata peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang. Oleh hal yang demikian, usrah perlu dilakukan dengan
bersemangat dan bersungguh-sungguh kerana ada pahala yang menanti bagi sesiapa
yang menghidupkan sunnah Rasulullah. Jelaslah bahawa usrah juga dapat merupakan
salah satu cara untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan.
Cara terakhir yang
dapat ditelusuri termasuklah berakhlak mulia sesama ahli keluarga. Hal ini
dapat mencegah perbalahan daripada berlaku. Akhlak mulia ibarat bunga. Sedarlah
bahawa sifat-sifat mulia ialah fitrah manusia dan disukai kawan mahupun
lawan. Jika diuji sekalipun, seseorang
itu haruslah berfikir dengan rasional sebelum mengambil sesuatu tindakan supaya
tidak menyesal seperti kata peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tidak berguna lagi. Kita dapat mengambil iktibar daripada kisah nabi Muhammad.
Kerana akhlak baginda ramai yang memeluk islam. Secara tidak langsung kita
dapat fahami bahawa dengan berakhlak mulia, setiap ahli keluarga pasti akan
berasa selesa dengan kita. Sebagai kesannya, hubugan kekeluargaan dapat
dieratkan dan menghasilkan keluarga yang penyayang. Sikap suka marah-marah
perlu dijauhi. Biarlah sesebuah keluarga itu dibina atas dasar kasih sayang
yang setulus hati. Katakan tidak pada sifat-sifat mazmumah. Setiap ahli
keluarga perlu mengamalkan sifat-sifat mahmudah agar rumahku syurgaku dapat
menjadi kenyataan. Kesimpulan kecilnya, ikatan kekeluargaan dapat dieratkan
dengan berakhlak mulia kerana ia merupakan lambang keperibadian bangsa
Malaysia.
Secara
holistiknya, setiap ahli keluarga mesti bersatu dalam mengeratkan ikatan
kekeluargaan yang telah terjalin. Keluarga yang bahagia mempunyai ikatan
kekeluargaan yang baik. Sesungguhnya keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran
negara. Amalan murni perlu diterapkan dalam keluarga. Didikan sewajarnya di
mulakan sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seperti kata
mutiara, untuk mencari ubi galilah tanah sedaki tetapi untuk mencari emas,
galilah sedalam. Ini bermaksud usaha yang gigih mendatangkan hasil yang
terbaik. Sesiapa yang menyerah kalah sebelum berusaha maka orang itu telah
gagal dan tidak berilmu tetapi orang gagal yang terus berusaha merupakan orang
yang bijaksana dan Berjaya. Hal ini kerana bukan senang untuk mencapai impian
keluarga bahagia. Semangat kekeluargaan yang tinggi dapat mengeratkan ikatan
kekeluargaan. Oleh itu, bersamalah kita mengamalkan cara-cara yang dicadangkan
dan dibincangkan di atas.
2 comments:
banyak membantu dalam persediaan spm th nie...thnkz yer akak
Terima kasih. Moga dipermudahkan pengajian. 😊
Post a Comment