SERONOKNYA! Esok Hanis
Saheera akan pulang ke tanah air tercinta. Dia memandang ke sekeliling bilik
yang bakal ditinggalkan. Segalanya tersusun kemas seperti awal-awal dia mula
masuk ke Asrama Darul Aman 3. Jadual dan nota telah pun ditanggalkan dari
dinding. Bagasi berjenama Polo yang sudah siap dikemas disandarkan pada dinding
di penjuru biliknya. Bukan satu bagasi, tapi dua. Banyak juga barang yang bakal
dia bawa pulang ke Malaysia. Ada jubah, stokin dan tudung mesir yang dipesan
oleh jiran-jirannya. Tak sampai hati pula hendak menghampakan permintaan
mereka. Hanis Saheera cuba tunaikan setakat yang dia mampu. Dia berharap sangat
mereka akan suka dan berpuas hati dengan hasil pembeliannya.
Sepuluh bulan dia berada di bumi bersejarah dengan kisah para anbia
dan aulia Allah. Pasti rindu akan menapak di hati nanti. Bumi yang mengajarnya
erti kesusahan dan pengorbanan hidup. Mutiara ilmu yang dipelajari di sini cuba
dipupuk dalam lubuk hati agar ia kekal dan dapat diamalkan seterusnya
disampaikan kepada orang lain. Ilmu perlu ada di dalam dada, bukan di dalam
buku sahaja. Seperti kata para bijaksana, ilmu yang tidak diamalkan ibarat
pokok tanpa buah. Jenaka ustaz sewaktu di sekolah dahulu pula berbunyi seperti
ini, ilmu jika tidak diamalkan ibarat kereta tanpa stereng. Betul kan? Mustahil
untuk seseorang itu memandu tanpa stereng. Tak kiralah kereta manual atau automatik.
Mesti kena guna stereng kan? Pelbagai kiasan yang disampaikan supaya pelajar faham
akan kepentingan untuk mengamalkan sesuatu ilmu yang dipelajari.
Sayang seribu kali sayang, para pelajar termasuk dirinya selalu
memandang enteng dengan apa yang diajarkan oleh para guru. Ilmu bukan sahaja
untuk lulus peperiksaan tetapi sebagai panduan dalam hidup. Perjalanan hidup
bukanlah satu laluan yang lurus tetapi berliku-liku serta lengkap bersama
selekoh-selekoh tajam. Ilmu sangat diperlukan untuk melalui jalan-jalan ini.
Hanis Saheera sedar akan hakikat itu. Ilmu dan amal! Dua elemen yang selalu dia
pesan pada dirinya. Kedua-duanya perlu bergerak seiring. Cukuplah sekali, dia
pernah kecundang gara-gara sikap egoisnya. Tidak mahu mengulangi detik dahulu.
“Hai, termenung jauh Hanis! Sehari saja lagi. Tak sabar nak balik
Malaysia ke?” soal Fatimah Azzahra sambil tangannya diletakkan di atas bahu
Hanis Saheera. Mendekatkan jarak kedudukan mereka. Terasa ukhwah itu mengalir
dari tangan Fatimah Azzahra ke bahu Hanis Saheera. Begitu erat talian persahabatan
antara mereka berdua. Mereka mula berkenalan dalam Majlis Suai Kenal yang
dianjurkan oleh Unit Sambutan Mahasiswa Baru. Perbezaan bidang pengajian tidak
menjadi penghalang buat mereka. Tak semestinya pelajar perubatan perlu berkawan
dengan pelajar perubatan sahaja dan tak semestinya juga pelajar pengajian islam
hanya berkawan dengan pelajar pengajian islam. Hidup ini bervariasi bukan?
Kenapa perlu disempitkan?
“Pandai kau teka. Memang aku sedang termenung pun. Layan perasaan.
Tiba-tiba saja teringat kembali kenangan indah di sini. Tak sangka aku dapat
jejakkan kaki di bumi barakah ini. Tak pernah aku termimpi untuk datang ke
sini. Kita tak tahu ketentuan yang Allah telah tetapkan untuk kita.
Alhamdulillah, dengan nikmat Allah aku dapat berada di sini. Dapat menghirup
udara segar di bumi yang berdebu ini. Bila debu-debu itu disapu maka
bercahayalah mutiara-mutiara ilmu yang tersembunyi disebalik debu-debu. Tak
semua orang dapat nikmat macam kita kan?” balas Hanis Saheera. Menarik nafas
panjang.
“Betul tu. Kita patut bersyukur. Bukan senang nak dapat peluang
belajar dekat sini. Gaya kau cakap macam inilah kali terakhir kau duduk kat
sini. Padahal baru tahun satu dekat sini. Hanis, bila dah sampai
Malaysia nanti, contactlah aku sama. Jangan lupa sahabat serumah,
sebilik, sekatil, sebantal, se apa lagi eh? Yang penting sehati sejiwa,” ujar
Fatimah Azzahra. Dia lebih tua setahun daripada Hanis Saheera. Selalunya
pelajar pengajian islam akan datang ke Mesir selepas tamat Sijil Tinggi Agama
Malysia.
“Ya, Fatimahku sayang. Aku ajak kau balik, kau tak nak. Kau pun
sama. Jaga diri kat sini. Jangan nakal-nakal. Keluar malam jangan lupa guna musyrif.
Tahu sangat perangai kau yang tak suka guna musyrif ni. Report
dekat Unit Hisbah baru kau tahu,” pesan Hanis Saheera. Faham benar perangai
Fatimah Azzahra. Kenakalan dan sikap selamba merupakan faktor awal yang
mengikat mereka sehingga menjadi serasi. Bukan selalu tak guna khidmat musyrif
ini. Kadang-kadang sahaja.
“Eleh. Macamlah kau selalu guna musyrif. Kau dengan
aku dua kali lima saja kan. Aah. Aku dengar nasihat kau ni. Kau
janganlah marah sebab aku tak mahu ikut kau balik. Aku dah janji dengan abah
aku, tahun ni aku tak nak balik. Tahun depan kita balik sama-sama, okey?”
Hatinya juga merayu untuk pulang ke Malaysia. Bukan tak teringin untuk pulang.
Tapi apakan daya, ada keperluan lain yang memerlukan tanggungjawabnya.
“Yalah. Kesian kawan kau ni, kena naik kapal terbang seorang diri.
Tak ada siapa nak teman. Sedih tau.” Hanis Saheera cuba menarik perhatian
Fatimah Azzahra dengan menuturkan kata-kata dalam nada yang sedih. Riak mukanya
juga kelihatan sedih. Dia pesan juga kepada Fatimah Azzahra agar tidur di syaqah
lain. Selepas kepulangan Hanis Saheera nanti, dia akan tinggal seorang diri di
rumah mereka. Sunyi pula nanti.
“Tak payah nak sedih-sedih. Bukan kau seorang saja yang naik kapal
terbang tu. Beratus-ratus orang lagi ada. Mesti ada orang melayu juga dalam
kalangan manusia yang ramai tu. Itulah lain kali jangan beli tiket pada saat
akhir. Ambil iktibar. Hehe. Hanis, sahur untuk pagi esok kau masak tau.
Jangan lupa pula. Hari terakhir orang tu akan masak untuk ahli bait yang
tersayang. Tak sabar aku nak makan. Masak sedap-sedap yasayang.”
“Alaa… Aku masak biasa-biasa saja. Jangan berharap Hanis
Saheera yang tak pandai masak ni untuk masak sedap-sedap. Kau ni takkan tak
kenal aku. Goreng-goreng saja. Masuk pertandingan masak pun tak layak,” ujar
Hanis Saheera. Memang dia jahil dalam bab memasak ini. Bab makan serahkan pada
dirinya.
“Tak kisahlah, yang penting ada makanan untuk sahur nanti. Okeylah
aku nak tidur dulu. Kau macam biasakan? Burung hantu lagi malam ni? Maafkan aku
kalau ada salah dan silap secara sengaja atau tidak sengaja. Assalamualaikum.
Selamat malam sayang. Good Night.”
Sudah menjadi tabiat mereka untuk meminta maaf sebelum melelapkan
mata. Begitulah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. kepada seluruh umat.
Sebelum tidur seseorang itu perlu memaafkan orang lain dan meminta keampunan
semua orang agar dapat tidur dalam keadaan tenang.
“Waalaikumussalam… Iya. Dah pergi tidur. Pukul 2 pagi nanti
aku kejutkan kau. Andai tak ada burung hantu ni, tak bersahurlah kau setiap
hari. Aku padamkan lampu bahagian kau ya.” Hanis Saheera berlalu untuk memadam
lampu bilik.
Di Mesir, waktu Subuh jatuh pada pukul 3.15 pagi untuk musim panas inilah.
Maklumlah siang panjang dari malam. Kira puasa pada musim panas ni agak
letihlah. Puasa lebih dari 12 jam. Namun, ini bukan penghalang kepada para
pecinta Ilahi untuk beribadat dan meningkatkan amalan. Boleh perbanyakkan
bacaan al-Quran pada waktu siang. Pada malam hari, manfaatkan masa untuk
berehat dan tidur. Tidak perlu diisi dengan perbuatan yang sia-sia.
Kalau musim sejuk, malamnya panjang pula. Puas untuk tidur. Tabiat baru akan muncul iaitu sikap suka makan pada waktu malam. Perkara macam ini
bergantung kepada individu itu sendiri. Jika tidak berwaspada, bertambahlah
berat badan. Apa-apa pun ini semua kurniaan Allah kepada hamba-Nya.
Alhamdulillah.
Hanis Saheera bermalas-malasan di atas katil bujangnya sambil
menunggu jarum jam menunjukkan pukul 1 pagi. Sekejap lagi dia akan mula
memasak. Bercadang untuk masak sotong sumbat tepung, kangkung goreng kicap dan
sos. Sekali-sekala dapat makan sotong sebab sotong sangat mahal di sini. Memang
dia sangat malas untuk masak masakan yang susah. Dia mengutamakan makanan yang
ringkas dan senang dimasak. Lagipun semasa di rumah, dia memang tak pernah
masak. Semua kerja rumah diuruskan oleh abahnya dan along. Pasti mereka gembira
dengan perkembangan positif Hanis Saheera yang manja ini. Sehari selembar
benang, lama-lama jadi kain. Demikianlah juga kemahiran memasak yang ada pada
dia. Lama-kelamaan dengan latihan yang cukup, pasti dia akan mahir juga. Yang
penting ada rasa ingin mencuba di dalam jiwa.
Anak manja. Memang dia terlalu dimanjakan oleh abah dan along sejak
kematian ibu, Puan Karimah semasa dia di tingkatan tiga. Sudah lima tahun ibu
meninggalkan dia. Rindu sememangnya rindu. Ibu meninggal dunia kerana sakit
barah payu dara. Hebat dugaan yang ibu hadapi. Namun, ibu tetap tabah dan tidak
pernah merungut dengan ujian Ilahi. Sentiasa senyum dan tenang. Mulut sentiasa
berkumat-kumit berzikir untuk menghilangkan penderitaan yang dialami.
Hanis Saheera bersyukur dikurniakan seorang ibu yang sangat
penyayang. Dia selalu mendoakan agar ibu berada bersama orang-orang yang soleh
di sana. Dia tahu doa anak-anak yang soleh tidak akan terhijab seperti mafhum
hadis : Bila seseorang itu sudah meninggal nanti, maka terputuslah amalan
kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang
soleh. Moga Allah memakbulkan setiap doa yang dititipkan untuk ibu dan seluruh umat
Islam di dunia ini. Amin.
Kedua-dua anak gadis mengaminkan doa makan tersebut. Makan dengan berselera. Menikmati makanan orang bujang. Hari terakhir bersahur di Mesir. Sungguh indah dengan diiringi zikir munajat yang dimainkan di telefon bimbit. Mungkinkah ramadhan ini yang terakhir buat kita? Kejarlah sepuluh malam terakhir ini. Manfaatkan dengan amalan yang baik seperti bersolat malam, berzikir, membaca Al-Quran dan bersedekah. Jika tak mampu melakukan semua amalan, cukuplah sekadar yang mampu dilakukan. Kualiti yang dicari bukan kuantiti.
PUKUL satu pagi. Sibuk sungguh Hanis Saheera di dapur. Hari terakhir dia menjalankan tugas memasak untuk ahli bait ini. Lepas ini, tak perlu memasak lagi. Ceria! Hati gembira tidak terkata. Balik Malaysia tidak perlu risau akan hal kerja dapur ini. Encik Kamal dan along, Muhd Khairul kan ada. Hanis Saheera hanya goyang kaki di rumah. Hal inilah yang menyebabkan pertambahan kolesterol di dalam badan.
Sayur kangkung goreng kicap, sos buatan sendiri dan sotong sumbat tepung sudah siap dimasak. Semua masakan diletakkan di atas meja di ruang makan. Hanis Saheera melihat jam di telefon bimbit Sony Ericsonnya. Pukul 2.30 pagi. Dahinya berkerut. Buruk betul mukanya ketika itu.
“Argh, terlupa kejut Fatimah! Mampus aku. Kena berleter nanti. Macam mana aku boleh lupa ni?” jerit Hanis Saheera. Dengan pantas dia bergegas ke bilik. Sampai sahaja di hadapan pintu bilik. Terkejut. Fatimah Azzahra sedang bersolat. Hanis Saheera mengusap dadanya perlahan-lahan. Fuh. Lega sangat. Selamatlah dia daripada dimarahi oleh Fatimah Azzahra.
“Ingat tak bangun lagi. Lega tak kena marah dengan Fatimah. Eh, aku tak masak nasi lagi ni. Pukul berapa dah ni? Sempat ke?” Hanis Saheera menyoal diri sendiri. Terus ke dapur. Ketar lutut sudah. Hanis Saheera takut dia tidak sempat masak nasi. Sudah la kena masak nasi secara manual. Maklumlah rice cooker rosak. Tak mampu nak beli untuk kali kedua. Basuh beras 7 kali berserta selawat pendek. Cepat-cepat dia hidupkan api dan letakkan periuk berisi beras di atas dapur gas. Memang pasrah sahaja.
“Sempat ke? Sempat kut. 15 minit saja.” Dalam hati dia hanya berdoa agar nasi cepat masak. Takut juga kalau gas habis pula di saat genting macam ini. 20 minit sudah berlalu. Nasi masih lembik dan sedikit berair. Resah mengundang di hati. Fatimah Azzahra menjenguk Hanis Saheera di dapur. Lama benar dekat dapur.
“Oit, dah siap masak ke?” soal Fatimah Azzahra yang masuk ke dapur untuk mengambil air kotak perisa coklat dari peti sejuk.
“Lauk dengan sayur dah siap. Nasi saja yang belum siap lagi. Tengokkan kejap. Macam lembik ja ni. Rasa macam terlebih airlah,” adu Hanis Saheera kepada Fatimah Azzahra. Dia mengambil senduk daripada Hanis Saheera.
“Lembik sikit ni. Tapi okey saja. Dah boleh tutup api sebab dah masak,” ujar Fatimah Azzahra sambil menutup api nasi.
“Sorry tau. Kesian kau kena makan nasi lembik,” bicara Hanis Saheera perlahan.
“Okey. Tak kisah pun. Asal ada makanan. Jom makan. Aku lapar ni.”
Hanis Saheera mengambil dua biji pinggan dan menyenduk nasi untuk dibawa ke ruang makan.
“Aku minta maaf untuk dua kesalahan. Pertama, tak kejut kau pukul dua tadi. Kedua, masak nasi lembik. Sebagai denda aku baca doa makan ya,” ujar Hanis Saheera dengan mempamerkan riak muka bersalah. Dia akui kesalahannya.
“Iyalah. Baca cepat.” Fatimah Azzahra hanya menggelengkan kepala. Hanis Saheera buat teruk boleh. Kecil sahaja kesalahan. Nasi lembik pun tidak mengapa, asalkan boleh diterima oleh perut.
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah berkatilah kami pada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari azab neraka.”
“Amin.”
Kedua-dua anak gadis mengaminkan doa makan tersebut. Makan dengan berselera. Menikmati makanan orang bujang. Hari terakhir bersahur di Mesir. Sungguh indah dengan diiringi zikir munajat yang dimainkan di telefon bimbit. Mungkinkah ramadhan ini yang terakhir buat kita? Kejarlah sepuluh malam terakhir ini. Manfaatkan dengan amalan yang baik seperti bersolat malam, berzikir, membaca Al-Quran dan bersedekah. Jika tak mampu melakukan semua amalan, cukuplah sekadar yang mampu dilakukan. Kualiti yang dicari bukan kuantiti.
No comments:
Post a Comment