Seseorang yang tidak belajar daripada
kesilapan telah melakukan satu kesilapan lagi. Demikianlah ungkapan yang dapat
menggambarkan kepentingan menghargai bangunan sejarah di Malaysia agar kita
mendapat iktibar dan teladan daripadanya. Namun, sayang seribu kali sayang
dalam era globalisasi ini, pemimpin Malaysia yang menjadi tonggak utama negara
kurang memberi perhatian pada aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan
bersejarah lantaran aktiviti pembangunan yang lebih diutamakan. Hal ini kerana
pembangunan lebih menguntungkan pihak pemerintah. Dengan itu, pelbagai prakarsa
dan inisiatif perlu dilaksanakan secara ampuh untuk menggalakkan aktiviti
pemuliharaan dan pemeliharaan. Ironisnya, apakah usaha-usaha tersebut?
Usaha
yang dianggap signifikan untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah
adalah dengan menjaga dan mengubah suai bangunan bersejarah. Mengapakah
dikatakan begitu? Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah penting untuk
generasi sekarang dan generasi akan datang supaya mereka mengenali sejarah
serta memahaminya. Selain itu, kita dapat membuktikan sejarah Malaysia yang
telah dibukukan oleh para penulis merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah
mitos semata-mata. Biar kita ambil contoh bangunan lama hendaklah diubah suai
untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini
sudah menjadi suatu perkara biasa di England, Perancis dan Belanda.
Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath dan Oxford telah berjaya melindungi
bangunan bersejarah mereka dengan baik. Sebelum nasi menjadi bubur kita
seharusnya memelihara dan memulihara bangunan bersejarah.
Selain
itu, pihak kerajaan perlu mewartakan bangunan bersejarah. Hal ini bermaksud
bahawa kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi bangunan
bersejarah. Usaha ini dapat dijayakan dengan kerjasama semua pihak. Hayatilah
peribahasa yang berbunyi bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Tindakan dan hukuman akan dikenakan kepada pihak yang cuba
memusnahkan bangunan bersejarah. Kita patut mencontohi negara-negara yang
menggunakan undang-undang untuk menghukum pihak yang merobohkan bangunan
bersejarah. Jelaslah bahawa mana-mana pihak yang memusnahkan bangunan bersejarah
perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana sekali tersengat selalu beringat.
Usaha
yang ditelusuri seterusnya ialah kementerian berkaitan memperuntukkan dana dan
bantuan untuk melaksanakan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan
bersejarah. Hal ini dapat membantu dan menyokong aktiviti tersebut. Menurut
kajian, dana belum pernah disalurkan pada aktiviti yang berkaitan dengan
sejarah. Perkara yang berkaitan dengan sejarah sering dianaktirikan oleh pihak
pemerintah. Fenomena ini persis dengan peribahasa iaitu berat sebelah dalam
melaksanakan tanggungjawab. Sehubungan dengan itu, kementerian perlu bermurah
hati dengan memberikan dana untuk merealisasaikan kerja-kerja pemuliharaan dan
pemeliharaan bangunan. Oleh itu, manfaatkanlah dana yang bakal diperuntukkan
oleh kementerian tersebut.
Seperkara lagi,pihak kerajaan patut mengadakan kempen menghargai
bangunan bersejarah. Dengan itu, warga Malaysia dapat mengetahui tentang
kepentingan menjaga bangunan bersejarah. Kempen tersebut boleh dijalankan
secara berperingkat-peringkat supaya dapat mencapai matlamatnya. Hal ini
terbukti bahawa kempen mampu mendidik masyarakat Malaysia ke arah lebih baik.
Sebagai tamsilannya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu
pertahanan yang telah dibina oleh Portugis boleh dijadikan iktibar. Kempen
tersebut boleh dijalankan di tempat tinggalan sejarah. Persis kata orang cina
kalau kamu tua, beri nasihat dan jika kamu orang muda, terimalah nasihat.
Demikianlah kata-kata yang bertujuan untuk mengajak masyarakat mengikuti kempen
yang dianjurkan. Terbuktilah bahawa kerajaan perlu mengadakan kempen tersebut.
Usaha
terakhir adalah dengan menerapkan kepentingan dan cara-cara menjaga bangunan
bersejarah dalam subjek Sejarah. Seterusnya, Kementerian Pelajaran Malaysia
perlu memastikan buku teks Sejarah mengandungi unsur-unsur tersebut. Mengapakah
dikatakan begitu? Hal ini demikian kerana para pelajar yang mempelajari Sejarah
dapat mengambil dan menggunakan nilai-nilai murni tersebut dalam melaksanakan
kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah. Hal ini dapat
dibuktikan dengan kewujudan buku teks Sejarah yang mengandungi bab tersebut.
Dapat ditegaskan di sini bahawa penambahan bab tersebut dalam buku teks Sejarah
amatlah wajar dilaksanakan.
Secara
holistiknya, prakarsa dan inisiatif memelihara dan memulihara bangunan
bersejarah yang telah dinyatakan patut dilaksanakan. Umum mengetahui bahawa
bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara
terutamanya ke arah penghayatan warisan khazanah negara. Sesungguhnya bangunan
dan monumen bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi
daripada satu generasi kepada satu generasi. Dengan itu, kita dapat melahirkan
masyarakat yang sensitif terhadap sebarang pemusnahan bangunan bersejarah.
Marilah kita berganding bahu untuk melaksanakan usaha-usaha tersebut bermula
dari sekarang. Kalau bukan sekarang bila lagi?
No comments:
Post a Comment