30 September 2013

Buah-buahan dan Kelebihannya.




“Hati yang bersih dapat melahirkan pemikiran yang waras. Maka, ‘suapkanlah’ ia dengan makanan dari sumber yang halal dan berkhasiat.”

1. Barli – Bagus untuk demam jika dibuat sup.

2. Kurma – Nabi berkata rumah yang tidak mempunyai kurma     adalah seperti rumah yang tidak ada makanan.

3. Buah Tin – Buah dari syurga. Boleh mengubati buasir.

4. Anggur – Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan buah pinggang, membersihkan perut

5. Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman, ubat segala ubat. Mengubati cirit birit jika dibancuh dengan air panas, membuka selera, menguatkan perut, membuang kahak. Elok diminun waktu pagi dengan air suam.

6. Tembikai (Segala Jenis) – Nabi berkata wanita mengandung tidak akan gagal melahirkan anak yang baik dari segi perwatakkan dan wajahnya.

7. Susu – Nabi berkata susu baik untuk membuang panas badan. Menguatkan belakang,memperbaiki otak memperbaharui pandangan mata, membuang kelupaan.

8. Cendawan – Baik untuk mata, perancang keluarga.

9. Minyak Zaitun – Rawatan kulit dan rambut. Melambatkan penuaan, merawat radang perut.

10. Delima – Membersihkan tubuh dari syaitan & bisikan syaitan selama 40 hari.

11. Air – Minuman terbaik. Jika dahaga hendaklah disedut perlahan-lahan. Jangan diteguk. Mudah mendapat sakit pada hati.



Kepentingan Memulihara Bangunan Bersejarah


         Seseorang yang tidak belajar daripada kesilapan telah melakukan satu kesilapan lagi. Demikianlah ungkapan yang dapat menggambarkan kepentingan menghargai bangunan sejarah di Malaysia agar kita mendapat iktibar dan teladan daripadanya. Namun, sayang seribu kali sayang dalam era globalisasi ini, pemimpin Malaysia yang menjadi tonggak utama negara kurang memberi perhatian pada aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah lantaran aktiviti pembangunan yang lebih diutamakan. Hal ini kerana pembangunan lebih menguntungkan pihak pemerintah. Dengan itu, pelbagai prakarsa dan inisiatif perlu dilaksanakan secara ampuh untuk menggalakkan aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan. Ironisnya, apakah usaha-usaha tersebut?

      Usaha yang dianggap signifikan untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah adalah dengan menjaga dan mengubah suai bangunan bersejarah. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah penting untuk generasi sekarang dan generasi akan datang supaya mereka mengenali sejarah serta memahaminya. Selain itu, kita dapat membuktikan sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh para penulis merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah mitos semata-mata. Biar kita ambil contoh bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di England, Perancis dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath dan Oxford telah berjaya melindungi bangunan bersejarah mereka dengan baik. Sebelum nasi menjadi bubur kita seharusnya memelihara dan memulihara bangunan bersejarah.

      Selain itu, pihak kerajaan perlu mewartakan bangunan bersejarah. Hal ini bermaksud bahawa kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi bangunan bersejarah. Usaha ini dapat dijayakan dengan kerjasama semua pihak. Hayatilah peribahasa yang berbunyi bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Tindakan dan hukuman akan dikenakan kepada pihak yang cuba memusnahkan bangunan bersejarah. Kita patut mencontohi negara-negara yang menggunakan undang-undang untuk menghukum pihak yang merobohkan bangunan bersejarah. Jelaslah bahawa mana-mana pihak yang memusnahkan bangunan bersejarah perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana sekali tersengat selalu beringat.

      Usaha yang ditelusuri seterusnya ialah kementerian berkaitan memperuntukkan dana dan bantuan untuk melaksanakan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah. Hal ini dapat membantu dan menyokong aktiviti tersebut. Menurut kajian, dana belum pernah disalurkan pada aktiviti yang berkaitan dengan sejarah. Perkara yang berkaitan dengan sejarah sering dianaktirikan oleh pihak pemerintah. Fenomena ini persis dengan peribahasa iaitu berat sebelah dalam melaksanakan tanggungjawab. Sehubungan dengan itu, kementerian perlu bermurah hati dengan memberikan dana untuk merealisasaikan kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan. Oleh itu, manfaatkanlah dana yang bakal diperuntukkan oleh kementerian tersebut.

       Seperkara lagi,pihak kerajaan patut mengadakan kempen menghargai bangunan bersejarah. Dengan itu, warga Malaysia dapat mengetahui tentang kepentingan menjaga bangunan bersejarah. Kempen tersebut boleh dijalankan secara berperingkat-peringkat supaya dapat mencapai matlamatnya. Hal ini terbukti bahawa kempen mampu mendidik masyarakat Malaysia ke arah lebih baik. Sebagai tamsilannya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang telah dibina oleh Portugis boleh dijadikan iktibar. Kempen tersebut boleh dijalankan di tempat tinggalan sejarah. Persis kata orang cina kalau kamu tua, beri nasihat dan jika kamu orang muda, terimalah nasihat. Demikianlah kata-kata yang bertujuan untuk mengajak masyarakat mengikuti kempen yang dianjurkan. Terbuktilah bahawa kerajaan perlu mengadakan kempen tersebut.

       Usaha terakhir adalah dengan menerapkan kepentingan dan cara-cara menjaga bangunan bersejarah dalam subjek Sejarah. Seterusnya, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memastikan buku teks Sejarah mengandungi unsur-unsur tersebut. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini demikian kerana para pelajar yang mempelajari Sejarah dapat mengambil dan menggunakan nilai-nilai murni tersebut dalam melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah. Hal ini dapat dibuktikan dengan kewujudan buku teks Sejarah yang mengandungi bab tersebut. Dapat ditegaskan di sini bahawa penambahan bab tersebut dalam buku teks Sejarah amatlah wajar dilaksanakan.

       Secara holistiknya, prakarsa dan inisiatif memelihara dan memulihara bangunan bersejarah yang telah dinyatakan patut dilaksanakan. Umum mengetahui bahawa bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan khazanah negara. Sesungguhnya bangunan dan monumen bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi. Dengan itu, kita dapat melahirkan masyarakat yang sensitif terhadap sebarang pemusnahan bangunan bersejarah. Marilah kita berganding bahu untuk melaksanakan usaha-usaha tersebut bermula dari sekarang. Kalau bukan sekarang bila lagi?



29 September 2013

CERPEN


Hari ini merupakan hari terakhir Liyana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Seawal pukul 12.30 tengah hari dia sudah sampai di sekolah. Hatinya terasa sangat berdebar-debar untuk menghabiskan kertas yang terakhir iaitu Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah. PQS singkatan untuk subjek tersebut. Tamat sahaja kertas tersebut, maka merdekalah pelajar-pelajar SPM. Dia berharap agar mendapat A+ bagi subjek ini. Hal ini kerana selama dia mempelajari PQS, dia sering mendapat A+. Rasa bangga menular dalam dirinya. Seringkali dinobatkan sebagai pelajar cemerlang membuatkan dirinya alpa dan leka. Pujian tidak pernah putus diterima olehnya. Mengejar kejayaan yang cemerlang semata-mata untuk dipamerkan kepada semua orang.

Liyana cuba menenangkan dirinya daripada perasaan berdebar-debar sambil kakinya meneruskan langkah menuju ke Taman Astakona yang menjadi tempat untuk berehat bagi para pelajar di sekolahnya. Di taman inilah dia dan rakan-rakannya mengadakan study group pada setiap hari Selasa dan Khamis. Mereka sering membincangkan topik-topik yang sukar difahami. Subjek Matematik Tambahan, Fizik dan Biologi merupakan subjek yang sering diberi perhatian.
        
      "Nanti mesti rindu pada sekolah dan kawasan persekitarannya yang menghijau ini. Cantik sangat!" getus hatinya sambil mata meliar melihat kawasan sekolah yang dihiasi dengan pepohon hijau. Pokok buah sukun, rambutan, mangga dan pinang pun ada. Macam-macam ada!
        
     Mata Liyana terarah ke pintu pagar sekolah. Kereta Grand Livina memasuki kawasan sekolah. Kenderaan itu milik Sir Hisyam, ayah kepada Mia Amalia yang merupakan rakannya. Sir Hisyam ialah seorang guru Bahasa Inggeris di Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga merupakan guru tuisyen kepada Liyana. Guru yang agak baik hati dan amat penyayang. Terasa sangat bertuah dapat mendalami ilmu dengan beliau. Tiap-tiap minggu dapat kosa kata yang baru. Bertambah pengetahuan pelajar-pelajar. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.   
       
       "Oit, Yana. Awal kau sampai hari ni. Dah bersedia ke?" tanya Mia Amalia. Tangannya memegang buku. Mata asyik membelek nota. 
       
      "Insya-Allah. Dah kot. Cuti empat hari pun terasa macam tak cukup. Kau faham la kan dengan perangai aku yang kaki tidur ni. Bila la nak insaf. Astaghfirullah." Liyana menggelengkan kepalanya. 
       
       "Ye la tu. Bila keluar result, nama kau juga yang menjuarai carta. Pastu bunyilah desas-desus sana sini. Asyik-asyik Yana. Hehe. Eh, kau tengah baca tajuk apa tu? Kongsi dengan aku sama. Nak dengar kau cerita pula. Kalau kita selalu baca sorang-sorang pun, tak elok juga. Input terlalu banyak. Ouputnya kurang. Cepat. Baru output kau seiring dengan input," ujar Mia Amalia.
        
       "Ya lah. Aku baca pasal Al- Khawarizmi. Sumbangan beliau ada tiga iaitu Trigonometri, Algebra dan Arithmatik. Selain itu, beliau juga menghasilkan karya dalam bidang Matematik, Astronomi, Geografi dan Sejarah. Kalau kau rajin boleh la ingat sekali nama-nama kitab yang dikarang oleh beliau," jelas Liyana tentang maklumat yang sudah dihadamnya.
       
      "Okey. Aku rasa macam tak rajin je. Kalau ada soalan tu, makanya aku hentam saja. Letak jawapan yang logik dan diterima dek akal."

      "Sekarang giliran aku pula. Bentuk-bentuk ujian yang Allah berikan kepada kita?" soal Liyana.

      "Senang saja tu. Jawapanya ialah susah, senang, duka, kaya, perempuan dan gembira," jawab Mia Amalia.
     
    "Betul! Tahniah anda berjaya menjawab dengan betul. Senangkan untuk jawab soalan tu. Tapi hakikatnya sangat susah melalui ujian yang kita lalui," ujar Liyana. 
       
    "Memang tak dapat dinafikan akan kebenaran kata-kata kau tu. Hmmm, sifat dan nama Al-Quran ada empat kan?"
       
      "Ha'ah. Sebutkan untuk aku kejap," pinta Liyana.
        
     "Sifat bagi Al-Quran ialah An-Nur, Al-Mubin, Al-Huda dan Ar-Rahmah. Al-Quran juga mempunyai nama yang cukup indah antaranya ialah Al-Kitab, Al-Furqan, Az-Zikr dan At-Tanzil. Kita kena ingat dalil tak?" tanya Mia Amalia lagi.
        
       "Kena ingat juga. Kadang-kadang ada juga soalan yang minta dalil bagi nama dan sifat Al-Quran." 
        
     "Memang kena ingat betul-betul la ni. Tak boleh nak spot soalan yang akan ditanya." Mia Amalia mula memberi pendapat.
        
      "Macam tulah nampaknya. Sebab itu ustaz suruh kita buat latihan banyak. Selalu berkepit dengan buku teks ni. Tidur dengan buku pun tak apa. Hehe." Liyana bersetuju dengan pendapat Mia Amalia.
       
      Soalan ramalan tak boleh dipercayai sangat. Nama pun ramalan, entah betul ke tidak. Paling senang fokus saja pada apa yang dipelajari selama dua tahun. Seterusnya buat latihan untuk meningkatkan ingatan selain bertujuan untuk menilai kefahaman tentang sesuatu tajuk. Nota juga amat penting kepada para pelajar. Justeru pelajar digalakkan untuk membuat nota seperti peta minda dan nota kaki. 
       
       Lampu Aladdin tidak akan bernyala kalau Aladdin tidak menggilap dengan sendirinya. Jadi sebagai konklusinya, pelajar perlu berusaha untuk menghasilkan nota yang terbaik dan senang difahami oleh dirinya sendiri. Benarlah bahawa sesungguhnya kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang berlipat-lipat ganda. Kan?
    
      Ramai pelajar sudah datang ke sekolah. Semua asyik dengan buku masing-masing. Ada juga yang tidak memegang buku. Mungkin sudah puas membaca buku. Jika empat hari dimanfaatkan dengan sebaiknya, pada hari peperiksaan tidak perlu kalut membaca buku. Namun bagi sesetengah pelajar, sesaat sebelum masuk dewan peperiksaan sangat berharga. Baca selagi ada masa! Masing-masing punya cara belajar yang tersendiri.

      Azan berkemundang dari Masjid As-Asyakirin yang berdekatan dengan sekolah Liyana. Kemudian Mia Amalia dan Liyana pergi ke surau untuk menunaikan solat zohor. Selesai bersembahyang mereka menuju ke Taman Astakona. Kelihatan Nabila dan Balqis sedang duduk di taman. Hafizah tidak kelihatan di situ. Mungkin dia berada di kantin. 

       Pukul 2.05 petang Liyana dan rakan-rakannya menuju ke kantin untk sesi bacaan doa dan bersalaman dengan guru yang bertugas pada hari tersebut. Sepuluh minit kemudian, semua pelajar sudah berada di dalam dewan peperiksaan.
      
     Tepat pukul 4.30 petang peperiksaan SPM sudah habis. Semua pelajar tersenyum gembira. Rasa macam beban atau tanggungjawab yang ditanggung selama ini diringankan. Semoga kejayaan milik mereka semua. Amin.
    
     Liyana dan rakan-rakannya pergi ke Meteor Garden untuk sesi fotografi bersama-sama rakan yang lain. Semua pelajar 5 Jabir berada di situ. Kelas yang paling happening! MG merupakan taman yang diwujudkan oleh mereka sewaktu di tingkatan empat dulu dan ia telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan landskap peringkat sekolah bersempena dengan Minggu Alam Sekitar.

     Masing-masing berposing dengan gaya tersendiri. Mungkin inilah kali terakhir untuk mereka bersama. Sungguh indah alam persekolahan. Di sekolah ini mereka mendapat ilmu duniawi dan ukhrawi. Moga ukhwah yang dibina akan berkekalan. Mereka akhiri pertemuan mereka dengan bersalaman dan berpelukan.

~
Masa berlalu dengan pantas tanpa disedari akan kepantasannya. Sepanjang tempoh cuti persekolahan mereka tiak pernah berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan urusan masin-masing. 23 Mac 2012 merupakan detik keramat bagi semua pelajar SPM 2011. Detik yang menjadi penanda aras tahap pencapaian mereka sepanjang lima tahun berada di alam persekolahan peringkat menengah. Namun ini hanyalah peperiksaan dunia yang tidak mampu menandingi Soalan Pandang Mahsyar Allah S.W.T.

Liyana sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui keputusan peperiksaannya. Para pelajar mula memenuhi ruang di dalam dewan yang serba indah itu. Para pendidik hanya tersenyum melihat kerenah anak didik mereka yang bervariasi ragam dan tingkah laku. Pastinya seorang guru itu akan mendoakan yang terbaik untuk pelajarnya. Semua mata tertumpu kepada pengetua, Ustaz Shafie bin Ismail yang sedang menapak masuk ke dalam dewan. Bertambah kencanglah irama degupan jantung.

“Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Ustaz akan mengumumkan keputusan SPM 2011. Diminta semua bertenang,”  ucap Ustaz Shafie. Bermula dengan pelajar yang mendapat 12A+ seterusnya 11A+ dan 10A+. Kawan-kawan Liyana semua mendapat 12 A+. Antaranya ialah Balqis, Mia Amalia, Hafizah dan Nabila. 

Saat memegang slip keputusan SPM, air mata Liyana terus laju mengalir dari kelopak matanya. Terpana sebentar tatkala melihat keputusan PQS yang hanya mendapat pangkat C. Mata pelajaran lain dia mendapat pangkat A+. Lantas dia membawa diri untuk berjumpa guru PQS  untuk memohon maaf kerana tidak mampu menggembirakan hati gurunya.

      “Kenapa aku tak dapat result yang elok macam kawan-kawan lain,” soal hati nurani Liyana yang sedang merintih hiba. Dia tidak mampu untuk mengangkat muka melihat langit kerana malu pada Allah. Mungkinkah dia ego dan sombong pada Allah selama ini? Terlalu banggakan A+ yang tidak seberapa itu. Maka Allah mengujinya agar dia kembali pada jalan yang lurus.

      “Liyana, jangan macam ni. Ada hikmahnya setiap yang berlaku. Aku tak nak tengok kau sedih macam ni. Jangan mudah putusa asa. Result kita bukan segala-galanya. Tapi Allah segala-galanya bagi kita. Allah uji kau sebab Allah sayang akan kau,” kata Mia Amalia sambil mengusap-usap belakang Liyana.

       “Aku malu sangat! Sebelum ini akulah yang selalu berada di atas dan tak pernah jatuh. Malang sekali hari ini aku jatuh dari tangga yang teratas. Perit untuk hati aku tanggung semua ini. Aku takut aku tak mampu untuk bangun semula. Aku kecewa sangat,” luah Liyana dalam nada yang sedih. Harapan ibu dan ayahnya musnah. Hajatnya untuk membahagiakan ibubapa tidak kesampaian.

      “Tak apa. Aku akan sentiasa bersama kau untuk bangun semula. Walaupun kau tak berjaya mendapat A+ untuk PQS dan PSI, itu tak menjadi penghalang untuk kau terus berjaya. Usaha lagi pada masa akan datang. Yang pastinya kita kena amalkan apa yang kita belajar dalam PQS dan PSI agar ia lebih bermakna untuk kita. Jangan biar ilmu di dalam kitab saja tapi amalkan agar ia selalu di dalam dada. Kesat air mata tu,” nasihat  Mia Amalia.

       “Terima kasih untuk nasihat kau.”

      Mereka berdua berjalan seiringan menuju ke kantin. Meskipun hari ini tiada cahaya, tidak bermakna esok pun begitu. Hidup perlu diteruskan dan jangan kalah pada onak duri kehidupan yang sementara ini. Jika ada usaha, kejayaan pasti menjelma jua dengan izin Allah swt. Ingatlah, jangan jadi seperti merak yang sombong! Belajar dan terus belajar.
TAMAT. 

edcoustic- sebiru hari ini

sebiru hari ini
birunya bagai langit terang benderang
sebiru hari kita bersama disini

seindah hari ini
indahnya bak permadani taman surga
seindah hati kita walau kita kan berpisah

bukankah hati kita telah lama menyatu
dalam tali kisah persahabatan ilahi
pegang erat tangan kita terakhir kalinya
hapus air mata meski kita kan berpisah

selamat jalan teman
tetaplah berjuang
semoga kita bertemu kembali
kenang masa indah kita sebiru hari ini

p/s:tetaplah berjuang berlandaskan syariat islam. 
     moga ukhwah berkekalan hingga ke syurga. Insha-Allah.



23 September 2013

Pantun Nasihat

Bersiar-siar di Pantai Cahaya Bulan,
Singgah sebentar di rumah Che Gu,
Jika jimat cermat dijadikan amalan,
Hidup tenang tiada terganggu.

Bagai Si Mawar menunggu Sang Lebah,
Lebah ditunggu tak kunjung tiba,
Untuk berukhwah dalam mahabbah,
Lapangkan dada jauhi  hiba.

Wajah berseri dengan senyuman,
Tanpa dicemari sebarang solekan,
Saat bersua  hadiahkan senyuman, 
Ucapan salam  jangan dilupakan.

Melihat bintang seribu kali pernah,
Menggapai ia hanya impian hati,
Jujur, amanah, tabligh dan fatonah,
Inilah sifat yang perlu dihayati.

Hari Rabu Pak Abu ke pekan,
Seronok berbelanja membeli buah,
Kalau ilmu tidak diamalkan,
Ibarat pokok tidak berbuah.

Tanah, udara, air dan lautan,
Allah kurnia pelbagai kegunaan,
Mesti dihayati penuh kenikmatan,
Moga dilimpahi pelbagai kurniaan.

Anak tenggiling masuk belukar,
Bertemu dengan anak raksasa,
Cintailah akan alam sekitar,
Kelak hidup tidak akan terseksa.

Hebat kasih seorang ibu tua,
Umpama sesuci lautan rindu,
Saat rindu tak dapat bersua,
Hanya doa pengubat rindu.

Terbang riang aneka rama-rama,
Indah menghiasi Taman Pelikan,
Nahi mungkar tanggungjawab bersama,
Amar makruf wajib dilaksanakan.

Ikan haruan ikan keli,
Berenang-renang di dalam sawah,
Jika niat di hati ingin membeli,
Berfikir sejenak agar tidak bermewah.

Air mengalir dari Sungai Raga,
Membawa arus ke Sungai Bersatu,
Masa  ibarat emas yang berharga,
Manfaatkanlah setiap detik waktu.

Pantai Merdeka destinasi berkelah,
Tempat untuk tenangkan hati,
Kalau ada silap dan salah,   
Mohon maaf seikhlas hati.