18 October 2015

Celik Jawi Bermula Dari Awal Usia


Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Demikianlah peribahasa yang menggambarkan kepentingan pendidikan dan pengenalan tulisan jawi kepaada setiap insan sejak dari awal usia. Umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia terutamanya generasi Y kurang membaca bahan bacaan dalam tulisan rumi apatah lagi bahan bacaan dalam tulisan jawi. Perkara ini terjadi kerana mereka tidak mempunyai minat membaca yang mendalam dan tidak memahami tulisan jawi. Kemahiran tulisan jawi yang ditinggalkan oleh orang zaman dahulu semakin pupus ditelan zaman yang serba canggih dengan pelbagai teknologi. Seyogianya, tulisan jawi juga boleh berkembang seiring dengan perkembangan tekbologi. Hal ini kerana maklumat hanya di hujung jari. Justeru, marilah kita memartabatkan tulisan jawi seiring dengan kemajuan teknologi agar generasi akan datang tidak akan buta jawi. Persoalannya, apakah cara-cara atau langkah-langkah yang perlu dilaksanakan untuk menjadikan seseorang itu celik jawi seawal usia?
          
Langkah yang dianggap signifikan ialah kesedaran dan perubahan yang bermula daripada diri sendiri. Secara kronologinya, sesuatu hal itu mestilah bermula daripada asasnya. Sebagai contoh, untuk mencapai kejayaan kita perlu bermula dari bawah dan melalui onak duri cabaran dengan kesungguhan serta ketabahan jiwa. Begitulah juga elemen yang perlu ada dalam proses mewujudkan generasi yang celik jawi sejak dari kecil lagi dan memartabatkan tulisan jawi dalam konteks 1 Malaysia. Elemen asasnya ialah diri sendiri yang merupakan aset yang sangat berharga. Setiap insan perlu mempunyai kesedaran diri dan memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan tulisan jawi sebagai bahasa pengantar serta meyemarakkan lagi penggunaan tulisan jawi dengan meluas sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Cuba kita berfikiran terbuka dan berfikir dengan rasional tentang zaman kegemilangan kesultanan melayu melaka yang mengaplikasikan tulisan jawi dalam rutin harian mereka. Tulisan jawi juga digunakan untuk urusan pentadbiran, undang-undang dan lain. Kita patut mengambil iktibar daripada sejarah negara kita dan memartabatkan tulisan jawi agar ia tak dek lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa gabungan peranan setiap individu mampu menghasilkan sesuatu yang mantap jika berteraskan perpaduan.
    
Selain daripada langkah itu, ibu bapa juga merupakan contoh teladan yang boleh memberi pendedahan awal kepada anak-anak tentang pengenalan tulisan jawi. Hal ini dapat diimplementasikan dengan sikap keperihatinan ibu bapa yang sanggup membeli buku-buku asas pembelajaran tulisan jawi untuk anak-anak mereka. Anak-anak umpama permata hati ibu bapa ini akan cepat belajar sekiranya bahan bacaan yang diberikan kepada mereka itu berwarna-warni  dan mempunyai grafik yang menarik. Sejujurnya perkara ini berlaku kepada diri saya sendiri yang mula meminati tulisan jawi melalui subjek pendidikan agama islam sejak dari sekolah rendah. Saya cuba menguasai tulisan jawi yang unik ini dan sekarang sudah mampu membaca novel dalam tulisan jawi. Novel pertama bertulisan jawi yang saya baca bertajuk Songket berbenang emas karya khairuddin ayip. Sebuah karya yang sangat menarik dan menyemarakkan lagi penggunaan tulisan jawi. Tulisan jawi boleh ditulis dalam pelbagai bentuk, contohnya khat thulus, khat diwani, khat rakaah dan lain-lain. Semoga dengan bervariasinya cara penulisan jawi ini mampu menarik dan menambat hati anak-anak untuk membaca dan menguasai tulisan jawi. Bak kata peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sehubungan dengan itu ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya menjadi insan yang celik jawi sejak kecil lagi.

Langkah yang ditelusuri seterusnya ialah pihak sekolah juga boleh merealisasikan matlamat kerajaan untuk melahirkan rakyat malaysia yang celik jawi dari awal usia. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini kerana pihak sekolah boleh menganjurkan Kempen cintai tulisan jawi yang berslogankan Tulisan jawi untuk semua manakala temanya adalah memartabatkan tulisan jawi dalam kalangan pelajar sekolah rendah serta sekolah menengah dalam konteks 1 malaysia. Slogan ini penting untuk menyatakan bahawa tulisan jawi bukan hanya untuk kaum melayu sahaja tetapi untuk semua kaum. Tulisan jiwa mempunyai nilai estetika dan nilai seni yang tinggi yang patut kita pelihara dan pulihara biar berkekalan untuk selama-lamanya. Sebagai qudwah, pelbagai program dan slot ceramah dapat disusun supaya kempen tersebut berjalan lancar. Dengan ini, para pelajar dapat menimba ilmu tentang tulisan jawi kerana ilmu itu pelita hidup. Tetapi lebih elok sekiranya ditubuhkan kelab pecinta tulisan jawi. Demi menarik perhatian pelajar, penasihat kelab perlu merancang aktiviti yang bermanfaat berasaskan tulisan jawi seperti kuiz jawi, dan pertandingan menulis pantun dalam tulisan jawi. Sudah terang lagikan bersuluh, pihak sekolah dapat melakukan anjakan paradigma demi menjayakan hasrat murni kerajaan.

Lanjutan daripada huraian langkah di atas, pihak kerajaan dan pihak swasta tidak terlepas daripada menghulurkan sumbangan dan menberi galakan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan kedua selepas tulisan rumi. Kedua-dua pihak perlu berganding bahu dan bersatu di meja bulat. Mengapakah dikatakan demikian? Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! hal ini kerana mereka mempunyai pengaruh yang kuat dalam segenap aspek. Sebagai tamsilannya, Perpustakaan negara menganjurkan pertandingan menulis esei 1 malaysia. Secara tidak langsung pertandingan ini membuka mata rakyat malaysia terhadap isu semasa yang memperkatakan tentang tulisan jawi yang semakin dilupakan lantaran kejahilan dan kesibukan hidup. Dengan ini warganegara malaysia dapat melihat betapa pentingnya memartabatkan dan mengenali tulisan jawi khususnya golongan muda yang merupakan sahmura negara serta bakal menjadi jurubina pembangunan tanah air kita. Tulisan jawi juga dapat dipelajari melalui iklan di media cetak mahupun media elektronik. Selaras dengan itu, semoga kedua-dua pihak akan meningkatkan promosi dan iklan dalam tulisan jawi. Jelaslah bahawa, muafakat antara pihak kerajaan dan pihak swasta mampu menyumbang ke arah melahirkan generasi muda yang celik jawi dari awal usia.
         
Setelah kita mengetahui langkah-langkah untuk mehasilkan generasi yang mengenali tulisan jawi secara mendalam, ayuh kita huraikan pula tentang kesan-kesan positif yang dapat diperoleh daripada penghasilan tersebut. Antara kesannya adalah meningkatkan taraf tulisan jawi selain mengekalkan tradisi melayu ini. Seperti kata pujangga, sesiapa yang tidak menghargai sejarah akan mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang. Untuk memastikan perkara ini tidak berlaku, kita perlu mengimbas kembali sejarah negara yang bertungkus lumus memelihara warisan tradisi melayu ini yang merupakan satu unsur penting pada era kegemilangan melaka di bawah pimpinan sultan-sultan yang berwibawa. Tulisan jawi juga boleh dijadikan perantara untuk menjayakan lagi gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh perdana menteri kita. Dana yang disumbangkan oleh kerajaan perlulah dimanfaatkan sebaiknya supaya semua objektif itu akan tercapai dan mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Izharnya, keunikan dan kesenian tulisan jawi dapat dipertahankan jika rakyat malaysia mengambil berat terhadap seruan kerajaan.
        
Secara holistiknya, celik jawi sejak kecil juga membentuk sahsiah dan peribadi remaja seterusnya mengurangkan masalah gejala sosial yang semakin meruncing di kala ini. Tulisan jawi membawa imej dan nilai positif yang boleh diikuti oleh semua peringkat umur. Bahan-bacaan dalam tulisan jawi turut memaparkan tema dan pengajaran yang mendidik jiwa pembaca. Semestinya semua pancaindera kita lebih disuburkan dengan mutiara kata serta kurang kejahatan yang dilakukan. Minat yang mendalam membantu pelajar-pelajar meluangkan masa mereka dengan sempurna tanpa melakukan aktiviti yang sia-sia. Sesungguhnya, lampu aladdin tidak akan menyala dengan sendirinya tetapi aladdinlah yang mengelapnya. Demikianlah semangat yang perlu ada menjayakan sesuatu. Hal ini kerana celik jawi seawal usia memupuk keterampilan diri. Berusahalah menjadi yang terbaik kerana usaha itu tangga kejayaan. melalui  tulisan jawi juga dakwah islamiah dapat  disebarkan dan didikan agama dapat diperteguhkan demi menyelamatkan maruah diri,keluarga, masyarakat, agama dan negara tercinta. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita menyokong proses menghasilkan warganegara yang celik jawi seawal usia agar hidup lebih sempurna dan teratur dengan sikap yang terpuji.