22 January 2015

Cara untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan


“Rumahku syurgaku”. Inilah kata-kata azimat yang menjadi impian setiap ahli keluarga yang kamil di dunia tanpa sempadan ini. Seringkali kepincangan rumah tangga menjadi punca  impian ini tidak dapat dicapai dan sekadar menjadi angan-angan di kotak fikiran. Kesibukan ibu bapa berkerja menyebabkan mereka berasa tersisih seperti anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Selain itu, kurangnya kasih sayang dan kurangnya perhatian antara ahli keluarga menjadi batu penarung kebahagiaan sesebuah keluarga. Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Tepuk dada tanya diri sendiri. Menyalahkan mana-mana pihak bukanlah jalan penyelesaian seseuatu masalah. Perkara ini hanya seperti retak mencari belah jika tidak ditangani dengan bijaksana dan waras. Persoalannya, apakah cara-cara yang wajar digunakan untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan? Ayuh kita saling memerah otak untuk mencari solusi yang terbaik.
            Cara pertama yang dianggap signifikan ialah ibu bapa perlu mengimbangkan antara kerjaya dan kehidupan seharian mereka. Hal ini amat diperlukan supaya anak-anak mendapat didikan yang baik dan sempurna dari segi fizikal dan mental. Dengan ini hubungan antara ibu bapa dan anak-anak dapat dieratkan lagi. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Tanggungjawab mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Anak-anak ibarat kain putih, coraklah ia sebagaimana ibu bapa kehendaki. Ibu bapa sepatutnya tahu bahawa masyarakat yang kaya dalam kebendaan tetapi miskin dari segi keperibadian memberi kesan negatif kepada anak-anak mereka. Kajian yang sahih membuktikan bahawa didikan yang sempurna daripada ibu bapa mampu melahirkan darah daging yang ceria seterusnya mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Benarlah kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Usaha diperlukan untuk mewujudkan anak-anak yang terbaik dari ladang! Sudah terang lagikan bersuluh bahawa hubungan kekeluargaan dapat diutuhkan lagi sekiranya ibu bapa berjaya mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka.
            Bukan itu sahaja, dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu memantapkan diri mereka dengan ilmu keibubapaan dan ilmu agama. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini demikian kerana ibu bapa dapat menghindarkan diri mereka daripada godaan syaitan dalam mentarbiah anak-anak. Ilmu tersebut sangat diperlukan dalam proses mentarbiah anak-anak supaya menjadi modal insan berminda kelas pertama. Menurut Imam al-Ghazali, anak-anak umpama sebutir batu permata yang belum digilap. Anak juga merupakan anugerah Tuhan kepada pasangan suami isteri. Maka ibubapalah yang akan menggilapnya sehingga menjadi manusia yang mempunyai pelbagai kemarahiran seperti kemahiran komunikasi, kemahiran menguasai bervariasi bahasa, kemahiran teknologi dan kemahiran ICT. Segala ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak mampu mengikat hati mereka pada jalan yang benar dan sentiasa hidup dalam berwawasan. Sebagai hasilnya, mereka akan selalu menghormati ibu bapa dan mempunyai pendirian yang tetap. Memang tidak dapat dinafikan lagi ilmu mampu menjadi pengikat antara ibu bapa dan anak-anak. Mudah-mudahan perkara ini boleh menjadi salah satu cara untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan.
Cara atau kaedah yang ditelusuri seterusnya ialah sesebuah keluarga itu seharusnya melakukan aktiviti kekeluargaan secara berkala yang melibatkan semua ahli keluarga. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Sememangnya aktiviti yang dilakukan bersama-sama mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Inilah amalan nilai murni yang dapat dipupuk ketika melakukan aktiviti seperti bersukan, gotong-royong dan melancong. Persis kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Untuk menjadikan peribahasa ini sebagai satu kenyataan, setiap ahli keluarga perlu bersatu hati dalam semua perkara. Biar susah dan senang sama-sama ditempuhi agar semangat bersatu sentiasa tersemat di hati. Sebagai contoh, setiap pemain dalam pasukan Harimau Muda berganding bahu dan sentiasa bekerjasama untuk menjaringkan satu gold dan menjuarai sesuatu pelawanan. Justeru, setiap ahli keluarga perlu mencontohi semangat yang ditunjukkan oleh pemain bola sepak. Lakukan aktiviti bersama-sama dengan penuh ikhlas agar hubungan yang agak rengang sebelum ini dapat dieratkan. 
            Selain itu, sesebuah keluarga hendaklah menghidupkan suasana usrah di dalam rumah. Hal ini demikian kerana melalui usrah, ahli keluarga akan lebih mengenali antara satu sama lain. Umum mengetahui bahawa usrah lengkap dengan rukun-rukun yang bermanfaat. Mereka dapat berkongsi masalah, minat dan pendapat. Jika setiap hari masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, sekurang-kurangnya meluangkan masa untuk berusrah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sebagai qudwah, usrah semakin mendapat tempat di sekolah, universiti dan tempat kerja. Seperti kata pakar motivasi, kualiti masa yang sedikit mampu memberi seribu kebahagian. Usrah boleh dilakukan secara santai sama ada di rumah atau di mana-mana sahaja. Melalui usrah, amalan nasihat-menasihati dapat dipupuk dalam diri setiap ahli keluarga. Bak kata peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Oleh hal yang demikian, usrah perlu dilakukan dengan bersemangat dan bersungguh-sungguh kerana ada pahala yang menanti bagi sesiapa yang menghidupkan sunnah Rasulullah. Jelaslah bahawa usrah juga dapat merupakan salah satu cara untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan.
            Cara terakhir yang dapat ditelusuri termasuklah berakhlak mulia sesama ahli keluarga. Hal ini dapat mencegah perbalahan daripada berlaku. Akhlak mulia ibarat bunga. Sedarlah bahawa sifat-sifat mulia ialah fitrah manusia dan disukai kawan mahupun lawan.  Jika diuji sekalipun, seseorang itu haruslah berfikir dengan rasional sebelum mengambil sesuatu tindakan supaya tidak menyesal seperti kata peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Kita dapat mengambil iktibar daripada kisah nabi Muhammad. Kerana akhlak baginda ramai yang memeluk islam. Secara tidak langsung kita dapat fahami bahawa dengan berakhlak mulia, setiap ahli keluarga pasti akan berasa selesa dengan kita. Sebagai kesannya, hubugan kekeluargaan dapat dieratkan dan menghasilkan keluarga yang penyayang. Sikap suka marah-marah perlu dijauhi. Biarlah sesebuah keluarga itu dibina atas dasar kasih sayang yang setulus hati. Katakan tidak pada sifat-sifat mazmumah. Setiap ahli keluarga perlu mengamalkan sifat-sifat mahmudah agar rumahku syurgaku dapat menjadi kenyataan. Kesimpulan kecilnya, ikatan kekeluargaan dapat dieratkan dengan berakhlak mulia kerana ia merupakan lambang keperibadian bangsa Malaysia.
            Secara holistiknya, setiap ahli keluarga mesti bersatu dalam mengeratkan ikatan kekeluargaan yang telah terjalin. Keluarga yang bahagia mempunyai ikatan kekeluargaan yang baik. Sesungguhnya keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara. Amalan murni perlu diterapkan dalam keluarga. Didikan sewajarnya di mulakan sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seperti kata mutiara, untuk mencari ubi galilah tanah sedaki tetapi untuk mencari emas, galilah sedalam. Ini bermaksud usaha yang gigih mendatangkan hasil yang terbaik. Sesiapa yang menyerah kalah sebelum berusaha maka orang itu telah gagal dan tidak berilmu tetapi orang gagal yang terus berusaha merupakan orang yang bijaksana dan Berjaya. Hal ini kerana bukan senang untuk mencapai impian keluarga bahagia. Semangat kekeluargaan yang tinggi dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan. Oleh itu, bersamalah kita mengamalkan cara-cara yang dicadangkan dan dibincangkan di atas.